PENGENALAN NOVEL
  1. Istilah ‘novel’ berasal daripada bahasa Itali, iaitu novella. 
  2. Novel ialah prosa cereka yang panjang dan merupakan karya sastera moden yang paling popular. 
  3. Novel adalah bentuk karya sastera yang mengemukakan kisah-kisah manusia. 
  4. Di dalamnya terdapat nilai-nilai budaya sosial, moral, dan pendidikan.
CIRI-CIRI NOVEL
  1. Novel mengisahkan hanya satu cerita atau satu kisah sahaja. 
  2. Cerita yang dipaparkan dalam sesebuah novel adalah lebih kompleks berbanding cerpen. Novel terbina daripada kira-kira 30,000 patah perkataan. 
  3. Novel melibatkan banyak watak, mempunyai satu tema dan banyak persoalan.
UNSUR-UNSUR NOVEL

1.  Novel mempunyai dua unsur iaitu:


(i)  Unsur Intrinsik
(ii) Unsur Ekstrinsik


(i) Unsur Intrinsik

(a) Tema


Tema merupakan idea pokok atau persoalan utama yang mendasari jalan cerita novel.

(b) Latar

Latar merujuk kepada latar belakang yang membantu kejelasan jalan cerita. Latar ini meliputi waktu, tempat, dan sosiobudaya. 

(c) Sudut Pandangan

Sudut pandangan ialah cara pengarang meletakkan kedudukan dirinya ketika mengembangkan sesuatu plot. Menurut Harry Show (1972) sudut pandangan terbahagi kepada tiga iaitu:

(i) Pengarang menggunakan sudut pandang orang pertama dan menggunakan kata ganti nama diri pertama seperti ‘aku’ bagi mengisahkan apa yang terjadi dengan dirinya dan mengungkapkan perasaannya sendiri dengan kata-katanya sendiri.

(ii) Pengarang mengunakan sudut pandang orang ketiga. Pengarang meletakkan dirinya di luar daripada diri watak atau pelaku-pelaku yang diceritakan. Dalam hal ini pengarang kerap menggunakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu ‘dia’ dan ‘mereka’. 

(iii) Pengarang menggunakan sudut pandang impersonal. Pengarang sama sekali berdiri di luar cerita, pengarang serba melihat, serba mendengar, serba tahu. Pengarang melihat sehingga ke dalam fikiran watak dan mampu mengisahkan isi hati watak tersebut.

(d) Plot

Plot ialah rentetan peristiwa yang berdasarkan sebab dan akibat. Plot diertikan juga sebagai jalinan peristiwa-peristiwa yang berhubungan antara satu dengan lain sehingga dapat dilihat pertaliannya.

(e) Watak dan Perwatakan


Watak ialah tokoh rekaan atau pelaku yang memegang peranan dalam sesuatu cereka. Perwatakan ialah karakter luaran dan dalaman yang ada pada seseorang watak.

(f) Gaya Bahasa

Gaya bahasa merupakan cara pengarang mengeksploitasi sesuatu unsur bahasa baik dari segi pengetahuan tentang penggunaan kata-kata mahupun dalam penyusunan ayat dalam sesebuah karya.

(ii) Unsur Ekstrinsik

Unsur ekstrinsik meliputi unsur-unsur seperti latar belakang penciptaan, sejarah, biografi pengarang yang mendasari penciptaan sesuatu karya novel. Unsur-unsur ekstrinsik ini akan membantu kita menafsir isi sesuatu karya sastera.